MIC minta PM Najib Razak beri peruntukan lebih BESAR.. jangan dok ciput je kalau nak menang.
Kata presiden MIC Datuk G Palanivel, orang India belum tentu sokong BN pada PRU nanti.
"Kami (masyarakat India di Malaysia) hanya dibantu semasa pilihan raya kecil dengan pemberian kecil, peruntukan kerdil untuk sekolah, kuil, pinjaman mudah - (tetapi) kami perlukan bantuan berkenaan dalam skala besar.
Hanya dengan itu, masyarakat India akan kembali menyokong kerana tidak ada sesiapa yang boleh kami harapkan kecuali kerajaan BN,” katanya.
Palanivel berkata penyelesaian segera perlu bagi manangani masalah masyarakat India itu.
"Jika mereka (BN) bantu, maka kita akan dalam keadaan baik. Kita perlukan bantuan, Masyarakat ini adalah masyarakat minoriti... kita bukan masyarakat majoriti, hanya minoriti,” katanya.
 |
| Johari Kassim |
Datuk Azhar Ibrahim hendaklah mematuhi arahan Mahakamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak berdolak dalik lagi kecuali mengosongkan bangunan Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga.
Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang Johari Kassim berkata, Adun Penaga itu jelas menyalahgunakan kedudukannya dengan terus menguna bangunan berkenaan yang dibina di atas tanah kerajaan negeri, meskipun beliau bukan lagi mewakili kerajaan yang memerintah.
Sebagai pembangkang Azhar sepatutnya sejak awal mengosongkan bangunan itu tanpa menunggu arahan mahkamah, katanya mengulas laporan akhbar bahawa Azhar ingin failkan rayuan menangguhkan pelaksanaan keputusan itu.
 |
| laporan akhbar harian.. Azhar akur tapi... |
Azhar sepatutnya berasa malu untuk mempertahankan sesuatu yang bukan lagi menjadi miliknya selaku pembangkang kecuali menyerahkan bangunan itu kembali kepada kerajaan negeri, kata Johari.
Beliau menegaskan bahawa Azhar sebenarnya menyalahguna harta kerajaan untuk kepentingan dirinya dan Umno walhal selaku Adun beliau sememangnya tahu kedudukan itu.
Zakat adalah salah satu pendekatan yang boleh membantu membasmi kemiskinan dan ia sejajar dengan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan merapatkan jurang perbezaan ekonomi di kalangan rakyat, khususnya umat Islam, kata Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Dato Haji Salleh Man.
Beliau berkata pada hari ini, mereka di dalam dunia korporat telah memainkan peranan masing-masing kerana mempunyai kesedaran tinggi untuk membayar zakat, yang sekaligus dapat membantu golongan yang miskin.
"Tentunya dengan bantuan yang disalurkan itu, ia tidak memustahilkan bahawa golongan miskin akan satu hari dapat memperbaiki nasib mereka dan seterusnya mengangkat martabat diri ke tahap lebih baik, " kata beliau.
Beliau berkata sistem zakat adalah satu peraturan yang menganjurkan manusia menjadi pemurah, penyayang dan prihatin terhadap nasib saudaranya yang lain.
Dalam hubungan ini, ekonomi Islam melalui berzakat adalah paling sempurna serta lengkap, tidak seperti sistem ekonomi kapitalis yang membiak amalan monopoli dan sosialis yang mengamalkan pemerasan.
"Usaha hendaklah digiatkan bagi membangkitkan kesedaran sejumlah penyumbang di kalangan ahli korporat dan usahawan Islam sendiri.
Penyertaan golongan korporat bagi tujuan memacu ekonomi umah sangat penting dan besar kesannya. Langkah ini bukan sahaja mampu melonjakkan kutipan bahkan mampu mengisi keperluan golongan asnaf itu sendiri."
Sumbangan amil harta dan korporat adalah tinggi daripada keseluruhan kutipan pada tiap tahun. Potensi kutipan Zakat Korporat setiap tahun adalah tinggi dan oleh itu, ia hendaklah digerakkan secara optimum dalam membantu mencapai sasaran, kata beliau.
Beliau berkata kemaslahatan umah ini hanya dapat diatasi jika seluruh umat Islam melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap zakat.
"Pusat Urus Zakat Negeri hendaklah sepakat dalam menentukan kaedah pengiraan zakat perniagaan bagi menambah hasil kutipan. Kaedah pengiraan zakat perniagaan yang lebih mantap dan praktikal perlu dijelaskan untuk menggalakkan syarikat korporat Islam menunaikan rukun Islam ketiga itu.
"Sehubungan itu, ahli perniagaan Islam perlu memahami hak pemilikan individu atau syarikat dan hak keadilan sosial dalam membahagikan keuntungan perniagaan,' tegas beliau.
Ingatlah, kata beliau dalam dunia serba mencabar ini yang mana manusia sentiasa mengejar kemajuan, umat Islam akan terus mampu bangkit menghadapi keadaan itu, selagi adanya amalan zakat.
Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah bertitah adalah amat penting Raja-Raja disembah maklumkan secara berterus terang mengenai cerita sebenar dan sama sekali tidak dipagari oleh mereka yang berkepentingan diri sehingga Raja tergamak diperalatkan.
"Raja wajib memiliki kumpulan penasihat yang jujur lagi ikhlas, kumpulan penasihat yang peka kepada denyut jantung dan denyut nadi warga, kumpulan penasihat yang tegas lagi berani menyatakan yang benar," titah baginda dalam Wacana Ilmu Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bertema "Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Warga" di Shah Alam hari ini.
Menurut baginda, Raja sendiri hendaklah bersedia menerima hakikat dan kenyataan, betapa pahit dan berat sekalipun, kerana keadilan tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa kebenaran.
Raja Nazrin Shah (kiri) bertitah bahawa Raja tidak dapat berperanan secara bermakna sekiranya Raja sentiasa dilukiskan dengan sebaik-baik gambaran.
"Ia bukan sahaja melukiskan gambaran palsu tetapi telah tidak bersifat adil kepada Raja, menidakkan hak Raja menyempurnakan tanggungjawab secara saksama untuk membolehkan peranan Raja diterima baik oleh warga," titah baginda.
Baginda bertitah adalah benar persaingan politik semakin sengit dan juga benar isu agama dan isu kaum amat sensitif tetapi persaingan politik hanyalah mengambil kesempatan memperjudikan isu agama dan isu kaum serta mengeksploitasi sentimen ketidakpuasan hati rakyat yang lebih rencam.
Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan dakwaan Lim Guan Eng sebagai seorang anti-Melayu adalah tidak berasas memandangkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu pernah dipenjarakan kerana mempertikaikan perbuatan pimpinan Umno terhadap seorang perempuan Melayu.
Mantan Menteri Besar Perak itu berkata, melihat pada apa yang dilakukan oleh Guan Eng pada 1994 itu dan apa yang dilaksanakan pada masa ini untuk orang Islam dan rakyat keseluruhannya di Pulau Pinang, ia bercanggahan dengan apa yang dituduh Umno.
Pada tahun 1994 Guan Eng ditahan polis ekoran kritikannya terhadap cara kerajaan mengendalikan kes membabitkan Ketua Menteri Melaka ketika itu Tan Sri Rahim Thamby Chik yang dikatakan telah mengadakan hubungan seks dengan seorang gadis bawah umur (hubungan seks dengan gadis bawah umur = rogol).
Guan Eng kemudian didakwa di bawah seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan seksyen 8(a)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, semuanya berkaitan dengan dakwaan kes rogol di atas dan akhirnya merengkok dipenjara apabila dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara.
Rahim Tambi Chik dibebaskan dari tuduhan itu dan baru-baru ini pula dikenakan hukuman denda apabila diadapati bersalah mengedar video lucah. Nizar berkata, banyak yang telah dilaksanakan oleh Guan Eng termasuk melipatgandakan peruntukan
kepada Sekolah-sekolah agama Islam di Pulau Pinang.
Nizar berkata demikian semasa berucap pada ceramah penerangan sempena Karnival Harmoni Rakyat di Simpang Empat Permatang Buluh, Tasik Gelugor. Yang turut sama berceramah ialah Pengarah Strategik PKR, Sdr Rafizi Ramli, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Karnival berkenaan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Haji Salleh Man.
Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan tindakan Jabatan Imigrasen menangkap dan menghantar pulang peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon baru-baru ini.
Presidennya, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan medianya berkata, alasan jabatan itu kononnya peguam itu melanggar peraturan lawatannya ke Malaysia tidak boleh diterima dan tidak mencukupi.
Beliau mengulas tindakan pegawai Jabatan Imigrasen yang menaiki pesawat yang membawa Bourdon dari Pulau Pinang di KLIA Jumaat lepas dan mengiringinya ke pajabat jabatan itu.
Ketika itu, Bourdon bersama pengiringnya iaitu seorang pegawai Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cythia Gibrel, dan isterinya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas memberikan ucapannya dalam satu majlis di sana.
Bourdon dijadualkan memberikan ucapan di majlis kutipan dana untuk membiayai tindakan Suaram yang membuka satu kes penyiasatan ekoran dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.
Bourdon adalah salah seorang peguam yang mewakili Suaram. Beliau dijadual berucap di Dewan Sivik MPPJ dan Ipoh keesokan harinya.
Tindakan kerajaan ini, kata Lim Chee Wee, menyebabkan rakyat membuat kesimpulan bahawa ia dilakukan ekoran ucapannya di Pulau Pinang sebelum itu, berkaitan dengan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam dari syarikat Perancis.
"Majlis Peguam Malaysia menuntut kerajaan Malaysia memberikan alasan yang munasabah secara terbuka ekoran tindakan menghantar pulang peguam Perancis itu untuk menghilangkan keraguan terhadap kes penangkapan dan penghantaran pulang ini.
"Kejadian ini memberikan satu lagi kesan negatif kepada nama Malaysia dalam hak asasi manusia yang melibatkan rakyat asing," kata Lim Chee Wee lagi.
Timbalan Ketua Menteri 1 Dato Mansor Othman berharap rakyat tidak mudah mempercayai dakyah yang disebarkan oleh kalangan yang kecewa bahawa kerajaan negeri tidak mengambil berat hal ehwal rakyat, khususnya orang Melayu.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan memberi perhatian pada permasalahan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama demi kemakmuran dan kemajuan negeri.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Harmoni Rakyat di Balik Pulau pada Ahad lepas yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam benar-benar berjiwa Rakyat apabila merendah diri dengan mencemar duli mengutip sampah untuk dicontoh rakyat baginda supaya mementingkan kebersihan persekitaran.
Baginda yang kelihatan selesa mengenakan baju T berwarna merah, berseluar trek dan topi tanpa segan silu bersama-sama 1,000 orang rakyat mengutip sampah sarap selama dua jam di Pantai Sri Tujoh di sini.
Majlis tersebut yang bermula pukul 10.30 pagi diadakan di situ kerana Pantai Sri Tujoh adalah antara destinasi tumpuan orang ramai dan pelancong.
"Beta dapati masjid tidak dibersihkan, tandas tidak dicuci, ini tidak sepatutnya berlaku sebab kebersihan adalah sebahagian daripada iman,'' titah baginda.
Majlis itu anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Al-Muhammadi itu.
Program itu adalah yang pertama seumpamanya melibatkan pihak istana dengan matlamat untuk merapatkan hubungan antara institusi diraja dan rakyat.
JKKK Pulau Pinang hendaklah sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan segala informasi kerjabuat kerajaan negeri Pulau Pinang, khususnya dalam menangani cabaran yang dihadapi, kata Timbalan ketua Menteri Dato Mansor Othman.
 |
| Ismail, Anuar dan Syawal (PPK) |
Beliau berkata, JKKK adalah sebahagian daripada jentera penting kerajaan negeri dalam menyalurkan maklumat, serta input rakyat .
Mansor berkata demikian kepada lebih 150 pengerusi dan setiausaha JKKK di bahagian Seberang Prai yang menghadiri kem kempimpinan dan motivasi anjuran Jabatan Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang di Butterworth.
Beliau juga mengingatkan JKKK agar melaksanakan tugasan penuh amanah dan bertanggungjawab kerana JKKK mencerminkan kewibawaan kerajaan negeri .
Pada majlis berkenaan JKKK didedahkan dengan konsep memantapkan pengurusan dan cerminan perpektif politik pakatan rakyat, kaedah berkomunikasi dan melihat ruang keterbukaan yang wujud dalam mengenengahkan diri sebagai pemimpin.
Antara penceramah pada majlis itu ialah Pengarah Pilihanraya PKR Pusat Haji Ismail Yusof dan Pegawai Penerangan, Jabaatan Komunikasi Ketua Menteri Haji Anuar Hashim.
Mohamad Sabu atau Mat Sabu mencabar polis mendedahkan rakaman penuh CCTV mengenai kejadian kenderaan polis merempuh motosikal yang diboncenginya pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu atau bersedia menghadapi saman sivil di mahkamah.
Timbalan Presiden PAS itu mendakwa, rakaman yang disiarkan oleh pihak polis semalam adalah rakaman yang telahpun diedit serta tidak menggambar wajah sebenar anggota polis terbabit.
Fitnah dalam adalah keterlaluan dan langsung tidak berlandaskan apa yang dilakukan ke atas saya (di tempat kejadian) itu," katanya di Komtar, Gergetown.
Beliau turut mengulangi tekad untuk menyaman Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid kerana menuduhnya beliau berlakon dicedera dek polis.
"Tarik balik fitnah ke atas saya dan kesihatan saya...maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap beliau," ujar beliau.
Turut serta dalam sidang tersebut, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Mansor Haji Othman.
Kelmarin, Saleh menyifatkan dakwaan Mohamad Sabu diperlaku secara brutal oleh polis adalah palsu.
"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar pembahagi jalan,”ujar Saleh semasa tayangan video tersebut.
Ligamen Lutut Mohamad tercedera hatta koyak akibat insiden brutal tersebut.
Dalam pembedahan seminggu yang lalu, di bahagian pelipat lututnya menerima skru sepanjang 2.5 inci.
Mohamad kemudiannya berkali-kali menafikan bahawa beliau berlakon duduk di atas kerusi roda sambil membawa filem x-ray yang menunjukkan lututnya menerima skru tersebut.
Masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini mengambil mudah fatwa Merokok Adalah Haram, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha.
Justeru itu katanya, Jakim dan Kementerian Kesihatan hari ini bekerjasama mengadakan Seminar Pendidikan Fatwa Merokok Adalah Haram sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran.
"Ia juga sempena kehadiran Ramadan hujung bulan ini yang diharap dapat dijadikan permulaan bagi umat Islam mengubah tabiat menghisap rokok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar itu di Putrajaya hari ini.
Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, Othman berkata jumlah penghisap rokok terus meningkat.
Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun ini, lebih lima juta penduduk dunia akan mati akibat penyakit berkaitan merokok antaranya serangan jantung, strok dan kanser.
Kira-kira 98 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini akan beralih kepada sumber media baru dan laman sosial seperti blog, Facebook serta Twitter sebelum November tahun ini.
Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, jumlah itu tidak mustahil dicapai kerana saluran media baru merupakan landasan paling berpengaruh yang berupaya melakukan perubahan sosial di negara ini."Perkara itu bukan mitos tetapi realiti. Saluran media baru berjaya mencetuskan revolusi sosial di Mesir, Tunisia, Amenia dan Ukraine.
"Kini media mempunyai kuasa sepenuhnya malah ia begitu kompleks dan boleh menyebarkan maklumat kepada sesiapa saja setiap saat. Perkara itu turut diakui kebanyakan ahli falsafah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Nations On Fire: ThePower Of New Media di sini, Khamis.
Menurut beliau, peralihan tersebut turut didorong oleh beberapa faktor seperti rakyat mahukan ruang untuk berkongsi pendapat dan terlibat dalam sesuatu perkara kerana dunia sekarang bersifat terbuka.
Sehubungan itu, Abu Hassan menggesa media konvensional supaya berubah daripada bersifat primitif dalam menyampaikan maklumat kepada lebih interaktif, terbuka dan menekankan kepelbagaian.
"Kita perlu menerima perubahan ini. Kita sudah memasuki era perundingan... media moden mesti mengamalkan kepelbagaian.
"Stesen radio sudah melalui proses perubahan ini. Pelbagai topik turut dibincangkan oleh penyampai radio. Mereka akan berinteraksi secara interaktif bersama pendengar menerusi telefon," jelasnya.
Katanya, jika kita tidak melakukan perubahan dari segi politik, ekonomi dan tingkah laku sosial, saluran media baru akan digunakan untuk merencanakan perubahan.
"Oleh itu, kita perlu menerima Internet sebagai peradaban manusia yang positif. Kita perlu berkongsi emosi, karakter, teknologi sains dan menerima kehadiran media baru," ujarnya.
Berdasarkan penelitiannya, beliau percaya kira-kira 92 peratus wartawan di negara ini berkhidmat bersama media konvensional berbanding saluran media baru.
"Kita mempunyai sebilangan besar para wartawan dari media konvensional. Saya yakin anda merujuk kepada Internet kerana ia dapat menjimatkan masa, ruang dan kos.
"Orang pertama yang menyebarkan maklumat akan dapat menguasai dunia. Saya pasti media konvensional tidak dapat mengatasinya kerana perlu melalui proses cetakan dan edaran," katanya.
Sementara itu, beliau mencadangkan supaya media konvensional bekerjasama dengan media baru dalam menyediakan lebih banyak ruanguntuk bersuara dan tidak membataskan hubungan dengan sesiapa saja.
"Media konvensional tidak seharusnya menjadi alat propaganda kepada sesiapa saja. Jika ingin bersaing dengan media baru, media konvensional perlu bersikap lebih terbuka dalam penyampaian berita,"ujarnya.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu enggan mengulas kenyataan polis yang mendakwa beliau membuat pengakuan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya pada Himpunan BERSIH 9 Julai lalu.
"Saya tidak mahu menjawab apa-apa... Tunggu kita saman di mahkamah," katanya melalui satu kiriman SMS lewat petang ini.
Ditanya bila tindakan itu akan diambil, Mohamad menjawab: "Kena tanya peguam Hanipa Maidin".
Polis hari ini tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas Mohamad kerana didakwa membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid, dilaporkan berkata tidak ada kebenaran bahawa Land Rover milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.
"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar pembahagi jalan,” katanya sewaktu tayangan video berhubung perhimpunan itu.
Mohamad mengalami kecederaan dengan ligamen lutut kanannya terkoyak sehingga memerlukan menjalani pembedahan.
Berikutan itu, doktor telah memasukkan skru sepanjang 2.5 inci di bahagian pelipat lututnya.
Mohamad juga menafikan bahawa beliau berlakon untuk meraih simpati di atas kejadian yang menimpanya.
Tiga penduduk Kelantan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bahru (MPKB) untuk memohon pengisytiharan bahawa kerajaan negeri itu tidak berkuasa melulus dan menggubal undang-undang atau enakmen yang mengharamkan atau melarang aktiviti perjudian dan loteri.
Saman pemula itu difailkan oleh dua peniaga, Mong Meng Yit dan Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa serta Gan Han Chuan pada 6 Jun lalu.
Salinan writ saman itu diserahkan kepada pihak media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini oleh Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker.
Pengurusan kes itu dibuat di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Kuala Lumpur pada 17 Ogos ini.
Inilah rakan-rakan Umno.. apa kata Tok Jib ?
Satu Konsert Amal Gaza yang akan turut menampilkan persembahan Juara AF9 Hazama akan diadakan di Dewan Millenium, Kepala Batas pada Ahad 24 Julai ini.
Konsert ini adalah berkonsepkan berhibur dengan lagu-lagu kemanusiaan, ketuhanan dan kehidupan sambil beramal. Ia anjuran badan NGO Permuafakat,
Selain itu, Mel Wing dan Bagio (Damasutra) akan turut menyampaikan persembahan pada konsert yang bermula jam 8.30 malam itu.
Selain itu tayangan slaid yang menyayat hati dan mengisafkan mengenai kezaliman Israel pada rakyat Palestin akan dipersembahlan
Pengarah Program Sdr Zulkifly Ishak berkata, konsert amal ini bertujuan mengutip derma bagi mengumpul dana untuk pembinaan hospital Kanak-Kanak di Gaza yang telah dilancarkan pada tahun lepas, hasil usaha MAPIM.
 |
| sdr zulkifly |
 |
| caravan to gazz convoy |
Orang ramai (dewasa) hanya dikehendaki menderma RM5 untuk menyaksikan persembahan artis-artis ternama ini, manakala kanak-kanak tidak diwajibkan. Pengacara DJ YY juga akan mendeklamasi sajak mengenai kesengsaraan rakyat Palestin.
Zulkifly berharap orang ramai akan memberi sokongan penuh pada program yang julung kali diadakan di peringkat Pulau Pinang ini.
Kupon kemasukan boleh diperolehi di pintu masuk ke dalam dewan pada hari berkenaan.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinasihat doktor berehat di wad memandangkan kepenatan melaksana tugas harian.
Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Menteri Besar dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian tengahari semalam selepas mengadu sakit perut.
“Mungkin hanya silap makan menyebabkan perutnya sakit. Ketika datang mendapat rawatan, doktor menasihatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya berehat di wad.
“Lagi pun apabila berada di wad membolehkan doktor membuat rawatan susulan sambil beliau berehat tanpa ada gangguan lain,” katanya di sini.
Menteri Besar kembali daripada lawatan di luar negara minggu lepas selepas lebih seminggu berada di beberapa negara termasuk menunaikan umrah di Makkah.
Oleh itu Fadhli menasihat orang ramai tidak perlu gusar dengan perkembangan kesihatan Mursyidul Am PAS berikutan berada di hospital sejak semalam.
Sementara itu dalam perkembangan lain Menteri Besar Kelantan turut merakam ucapan takziah di atas kematian anggota parlimen Titiwangsa almarhumah Dr Lo' Lo' Ghazali malam tadi.
“Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam sehingga ke saat akhir hayatnya. Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya.
Rakyat Pulau Pinang seharusnya merebut peluang untuk beramai-ramai menghadiri Karnival Harmoni Rakyat anjuran kerajaan negeri yang akan berlangsung di tiga daerah pada hujung minggu ini, khusus untuk memartabatkan maklumat kerjabuat Pakatan Rakyat.
Bagi kawasan Seberang Perai Tengah, karnival akan berlangsung di padang awam Taman Semilang,(hadapan Tesco) Seberang Jaya (23hb Julai/Sabtu, manakala bagi Seberang Perai Utara di dewan Simpang Empat Permatang Buluh (24hb Julai/Ahad).

Program berkenaan telahpun diadakan dik Seberang Perai Selatan dan dirasmikan Timbalan Ketua Menteri1 Dato Mansor Othman pada Sabtu lepas. Ia mendapat sambutan baik.
Pelbagai acara diatur semasa karnival berkenaan termasuk pameran oleh bank, klinik khidmat guaman, pemeriksaan kesihatan dan permainan tradisional, manakala pada sebelah malamnya pula akan diadakan ceramah penerangan.
Satu lagi majlis akan diadakan di Balik Pulau juga pada Ahad, 24 Julai, dengan majlis penerangan pada malamnya akan disampaikan Mansor dan Ketua Penerangan Sekretariat Pakatan Rakyat Perak Khalil Idham Lim dan Anggota Parlimen Balik Pulau Sdra Yusmadi.
Pada 23hb Julai, Mansor dijadual menyampaikan penerangan mengenai program kerjaan negeri di Padang Semilang itu bersama-sama Anggota Parlimen Parit Buntar yang juga AJK PAS Pusat Dr Mujahid Yusof Rawa dan Drs Khalil Idham Lim.
Pada 24hb Julai, Ketua Menteri Lim Guan Eng dijadualkan menyampaikan ucapan perasmian penutup dan penerangan di Simpang Empat Permatang Buluh, bersama-sama dengan Pengarah Pilihanraya Pas Pusat Dr Hatta, dan AJK PAS Pusat Datuk Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin.
Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadhan ini oleh kerajaan negeri Kedah tidak akan sesekali menyekat hak orang bukan Islam di negeri itu.
Sehubungan itu, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pusat hiburan di Kedah akan beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadhan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.
Perkara itu dijelaskan beliau pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sebuah hotel di sini.
Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
"PAS ambil jalan terbaik yang tidak boleh diselesai oleh Umno iaitu tidak menghalang hak orang bukan Islam dalam masa yang sama orang Islam tidak boleh mengerjakan maksiat
"Orang Umno buat peraturan orang Islam boleh masuk tempat maksiat, tempat judi. Kita buat pembetulan supaya pengendali pusat hiburan dikalangan orang bukan Islam buat peraturan agar orang Islam tidak boleh masuk," katanya yang juga ahli parlimen Marang.
Keputusan itu juga katanya telah dipersetujui oleh pengusaha pusat-pusat hiburan di negeri itu dan bersedia diambil tindakan termasuk menarik lesen perniagaan jika gagal berbuat demikian.
Penjelasan itu dibuat selepas mesyuarat tersebut mendengar penerangan dari wakil kerajaan negeri Kedah iaitu Setiausaha Politik kepada menteri besar, Mohd Sanusi Md Noor.
Hasrat sebenar perlaksanaan undang-undang itu kata Abdul Hadi, bertujuan mencegah orang bukan islam melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan.
Bagaimanapun kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.
"Di sana banyak perkara-perkara tidak tepat di lapor media yang sengaja dimainkan Umno Barisan Nasional.
"Kita membetulkan peraturan yang salah yang dibuat Umno. Umno membenar pusat hiburan kepada bukan Islam, dan tidak ada peraturan tegas bagi menghalang orang Islam" tambahnya.
Sementara itu, Mohd Sanusi yang ditemui selepas itu berkata, penguatkuasaan enakmen itu adalah tanggungjawab pihak polis.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang wujud sejak zaman pemerintahan Umno dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.
Tindakan itu bagaimanapun mendapat bantahan dari beberapa pihak termasuk MCA, Gerakan dan rakan Pakatan Rakyat, DAP.
Difahamkan, kontroversi tersebut bagaimanapun selesai selepas menteri besar bertemu wakil pusat hiburan semalam bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka.
Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali kembali ke rahmatullah di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi (Ahad)
Jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat. Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.
Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.
Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.
"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.
"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.
"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter.
Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.
"Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily