Pak Uda atau Zami Ismail, 67, meninggal dunia di IJN pagi ini (Had 19 Jun 2011).
Pelakon yang popular menerusi sitcom "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" meninggal dunia 10.30 pagi, selepas seminggu dimasukkan ke IJN ekoran masalah jantung, kata anak kedua Allahyarham, Ahmad Yamashita, 25.
"Jenazah arwah ayah akan dikebumikan di tanah perkuburan Tapah Road, Perak sepertimana pesanan arwah, iaitu selepas solat Asar," katanya.
Allahyarham meninggalkan isteri Hanizan Ibrahim dan sembilan orang anak termasuk pelakon Mohd Saopi atau dikenali sebagai Opie dan pengarah filem dan drama Mohd Latiff atau Hitler.
Opie ketika ditemui menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang tekun dan komited dalam setiap tugas yang diberikan.
"Saya dan adik-beradik yang lain pernah melarang ayah jangan ke lokasi penggambaraan, namun ayah tetap pergi secara senyap-senyap tanpa pengetahuan kami," katanya.
Pengarah filem dan drama, Othman Hafsham pula berkata watak Pak Uda yang dilakonkan Allahyarham adalah tunggak kepada sitcom "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" sekitar 1980-an yang menjadi siri sitcom yang diminati ramai penonton selama 18 tahun.
Allahyarham turut berlakon hampir 20 buah filem termasuk dua filem yang belum ditayangkan iaitu "Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit" dan "Shh… Dia Datang".Zami pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-9 pada tahun 1991. Al Fatihah.
0 comments