Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tuduhan dalam buku 'A Doctor in the House' adalah untuk menutup penyelewengan semasa pemerintahan mantan perdana menteri itu dan bagi menjamin masa depan politik anaknya, Muhkriz.
“Sebenarnya apa yang saya lihat ialah ketakutan dia (Mahathir) terhadap perubahan kerana kezaliman yang berlaku semasa pemerintahannya seperti yang didedahkan dalam buku Barry Wain:Malaysia Maverick. Beliau menghabiskan RM100 bilion lebih (duit rakyat)".
"Mahathir juga mahu menjamin masa depan anaknya seperti yang dilakukan oleh Hosni Mubarak terhadap anaknya Kamal. Dia mahu menjamin anaknya dalam golongan terulung di negara. Ini yang menjadi pertimbangan dia," kata Ketua Pembangkang itu.
Katanya, beliau tidak terkejut dengan pusingan terbaru tuduhan liar oleh Mahathir dan menegaskan bahawa masyarakat celik terhadap motif Mahathir itu.
Ketua umum PKR itu berkata pembohongan Mahathir terserlah dalam buku itu, khususnya apabila mendakwa beliau (Anwar) tidak menafikan tuduhan liwat terhadapnya ketika perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum dia dipecat dari parti.
"Nyata satu lagi pembohongan jahat ialah Mahathir mendakwa kononnya saya mengaku (tuduhan) dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Saya tidak akan terkejut sekiranya kuncu-kuncu Umno akan mengesahkan (demikian),” kata Anwar.
"Tetapi kita ada rakaman mesyuarat itu. Sepertimana yang saya ingat, perjalanan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu telah bocor dan tidak ada sama sekali pengakuan saya kononnya mengesahkan tuduhan.” kata Anwar.
Meskipun sering mendakwa Anwar kononnya mengamalkan seks liar, Mahathir tidak sekali pun hadir di mahkamah untuk memberi keterangan pada perbicaraan Anwar pada tahun 1998, walaupun atas desakan peguambela mantan timbalan perdana menteri itu.
Tetapi, sebaliknya Mahathir terus melontarkan tuduhan itu di luar mahkamah, dan atas kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu.
Selepas berundur, Mahathir meneruskan serangan ke atas Anwar dengan sokongan pemimpin Umno yang melihat ketua pembangkang itu sebagai musuh utama yang harus ditumpaskan.
Mahathir memuatkan 20 halaman dalam memoirnya mengenai bagaimana beliau mendapat tahu tentang dakwaan kisah seks Anwar dengan lelaki dan wanita, yang membawa kepada pemecatannya pada 1998.
0 comments