Sambil mendesak bekas Menteri memohon maaf secara terbuka, MPM turut mendakwa Rafidah telah memperlekehkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera dalam mengemukakan tuntutan mereka.
Jurucakap MPM, Prof Kamarudin Kachar yang juga Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera: Moden Ekonomi Baru (MEB) berkata, Rafidah tidak harus membuat apa-apa komen memandangkan beliau tidak tahu apa yang dibincangkan.
“Ia bukan hanya membabitkan Perkasa, tetapi melibatkan pandangan 126 NGO. Oleh itu, adalah tidak wajar beliau memanipulasikan dengan mengatakan seolah-olah Datuk Ibrahim Ali sahaja yang bercakap (mengenai isu MEB).
“Saya adalah pengerusi kongres, saya tahu kandungan perbincangan 1,226 peserta daripada 126 NGO itu, yang melibatkan peserta pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, Rafidah menyifatkan mereka yang menentang inisiatif MEB sebagai tindakan yang boleh mengakibatkan kesan buruk dan golongan berfikiran sempit.
“Kumpulan seperti Perkasa, hanya melihat MEB menerusi satu perspektif. Mereka menganggap ia sebagai hak mereka untuk meletakkan (pandangan) dua sen (dalamnya) tetapi ini boleh menyebabkan kesan berlawanan,” kata Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu.
“Jika anda bercakap kepada semua dalam Perkasa, saya pasti anda akan mendapati bahawa bukan semua berkongsi pandangan yang sama sebagaimana dikatakan oleh presiden mereka (Datuk Ibrahim Ali),” katanya.
Ibrahim pula berkata, sebagai bekas Ketua Wanita Umno dan bekas menteri Melayu, bukankah lebih elok dan terhormat jika beliau memberi pendapat membina serta membantu MPM merealisasikan segala resolusi yang dirumus tempoh hari.
“Sebaliknya kecaman yang dilontarkan kepada MPM jelas menampakkan kedangkalan serta kehilangan roh Melayunya,” kata beliau.
Pengerusi Perkasa Selangor, Abdullah Mansor juga menegaskan, kenyataan Rafidah itu merupakan satu “penghinaan” pada orang Melayu.
“Dalam hal ini, bukan Perkasa atau Datuk Ibrahim yang bernilai dua sen, tetapi sebenarnya Rafidah yang bernilai kurang dua sen,” katanya.
Naib Presiden Perkasa Dr. Zubir Harun pula berkata rang Melayu harus bersyukur pada Allah kerana Rafidah tidak dilantik menjadi menteri dan telah ditolak oleh Wanita Umno sebagai ketua.
“Tidakkah Rafidah sedar bahawa selama ini pendekatan pertumbuhan dan pengagihan yang diamalkan dari pentabiran Tun Razak hinggak ke Tun Mahathir telah membawa kemakmuran dan kestabilan negara," katanya. (edited malaysiakini)
0 comments