IPOH: Hanya kira-kira 23 jam selepas diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin diarahkan pula mengosongkan semula pejabat Menteri Besar selepas DS Zambry Abdul Kadir memperolehi penangguhan perisytiharan dari Mahkamah Rayuan.
Ketika menerima khabaran itu, Nizar sedang memberi sidang akhbar pada beberapa wartawan yang menunggunya di pejabat Menteri Besar. Wartawan menunggu beliau untuk mendapatkan makluman ekoran kepulangannya dari Istana di Kuala Kangsar selepas mengemukakan surat permohonan untuk perkenan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Sebelum itu, sekembali ke pejabat pada kira-kira jam 1 tengah hari dari Kuala Kangsar, Nizar berbicara dengan beberapa pegawainya. Kesemua kemudian mengikuti Nizar ke surau SUK untuk menunaikan solat fardhu zohor. Itulah rutin Nizar semasa di pejabat SUK.
Selepas solat itulah, beliau menemui wartawan. Yang turut berada di pejabat semasa itu ialah Setiausaha Politik Ust Misbahul Munir Masduki, YDP Pas Ipoh Barat Ust Norazli Musa dan saya, selaku Setiausaha Akhbarnya.
Semasa sidang akhbar dilangsungkan, saya dimaklumkan berita telah tersebar bahawa Zambry telah mendapat pengangguhan perisytiharan itu. Saya kemudian lantas membisikkan ke halwa Nizar.
Selepas itu, beberapa exco Pakatan Rakyat tiba dan perbincangan diadakan berhubung keputusan mahkamah rayuan itu yang akhirnya, keputusan dibuat untuk mengosongkan pejabat Menteri Besar itu sebelum arahan dikeluarkan. Apapun, semua pegawai dan Nizar sekadar datang ke pejabat dengan tangan kosong.
Apapun sekurang-kurangnya hari ini saya berkesempatan memohon maaf pada semua kakitangan pejabat Menteri Besar jika ada salah silap saya pada masa lepas. Semasa diarah keluar pada Februari lepas, saya tidak berkesempatan berbuat demikian kerana urusan rasmi di Indonesia.
ps: Nizar failkan kesnya pada Februari dan mendapat penghakiman pada Mei. Zambry merayu pagi dan mendapat perisytiharan pada petang hari yang sama.
-