Pakatan Rakyat akan menjelajahi seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat tentang Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 yang mempunyai banyak ketirisan dan kelemahan dalam perbelanjaan kerajaan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“(Penjelasan dibuat kerana) Berbilion ringgit hilang dan hutang-hutang dipadamkan begitu sahaja.
“Projek melibatkan kepentingan rakyat termasuk rumah guru dan tentera tergendala (malah) dimaafkan begitu rupa dan beberapa bukti yang lain,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini.
LKAN semalam, antara lain menyebut kerugian Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) sejumlah RM293.82 juta dan 37.8 peratus dari projek pembinaan jalan raya Sarawak yang kelewatan.
Dalam pada itu, Pakatan turut sepakat meminta kerajaan Umno BN menangguhkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan & Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor.
Anwar berkata, Pakatan pada dasarnya tidak menolak pembangunan tetapi melihat pelaksanaan projek itu bercanggah dengan prinsip yang ditetapkan.
Katanya, pelbagai permasalahan rakyat seperti pengambilan 10 kampung tradisional, walaupun ada kawasan alternatif lain.
Selain itu katanya, penambakan laut sebelum pengambilan tanah menyebabkan kerugian besar kepada nelayan dan tiada rundingan teliti bersama penduduk terlibat seperti dicadangkan oleh Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Jadi kita minta projek ini ditangguhkan dahulu untuk memenuhi keperluan yang disebutkan ini,” kata Anwar lagi.
Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar; Ketua Menteri Pulau Pinang; Lim Guan Eng; Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh dan Nurul Izzah Anwar.
Dalam sidang media sama, Salahuddin menunjukkan peta kawasan alternatif yang boleh digunakan untuk projek Pengerang.
“Dari kampung Datuk Seri Abdul Ghani Othman (Menteri Besar Johor) ke Desaru, ada lebih 2,500 hektar tanah…Jadi kenapa diambil hampir 10 tahun kampung tradisi,” soalnya.
Pada 30 September lalu, kira-kira 5,000 menyertai Himpunan Hijau Lestari di Pengerang bagi membantah projek tersebut.
0 comments